Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di hadapan ratusan penduduk yang hadir mendengar ceramah Kita Selangor ‘Arus Merah Kuning’ peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang di Kampung Melayu, Batu 16, Rawang pada 1 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN-BN rangka pelan ekonomi jelas dalam tempoh singkat

GOMBAK, 2 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) mampu merangka pelan ekonomi yang jelas hanya dalam tempoh singkat selepas gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.

Berbanding Perikatan Nasional (PN), Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan gabungan itu tiada hala tuju ekonomi sepanjang 33 bulan menerajui kepimpinan negara.

Mengambil contoh pengenalan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sehingga 120 peratus oleh kerajaan baru-baru ini, beliau menjelaskan inisiatif itu kali terakhir dilaksana sekitar 2005.

“Kita (HARAPAN-BN) tujuh lapan bulan ada pelan ekonomi yang baik. Program, sasaran termasuk bantu pemilikan rumah sampaikan perdana menteri bersedia mengarah bank beri pinjaman 120 peratus,

Penduduk yang hadir mendengar ceramah Kita Selangor ‘Arus Merah Kuning’ peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang yang disampaikan Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari di Kampung Melayu, Batu 16, Rawang pada 1 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kali terakhir (dilaksana) rasa 2005, 2006. Sebab itu apabila mereka (PN) tidak boleh serang (Selangor), mereka serang kerajaan pusat. Nampak gaya kerajaan pusat pun tidak boleh diserang,” katanya malam tadi.

Berucap pada ceramah Arus Merah Kuning di sini, beliau memaklumkan sebanyak 171,000 unit rumah mampu milik dibangunkan di Selangor, dengan 40,000 unit siap walau berdepan pandemik ketika itu.

Amirudin juga memberitahu sebanyak 200,000 unit kediaman bakal disediakan untuk rakyat seperti terkandung dalam Tawaran Kita Selangor Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri.

“Saya percaya gabungan perpaduan HARAPAN dan BN, tawaran perumahan ini boleh dilaksanakan. Rakyat dapat miliki rumah selesa bawah pentadbiran negeri dalam penggal akan datang,” katanya lagi.

Hari pengundian bagi pilihan raya negeri Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 12 Ogos.

 


Pengarang :