Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan lebih 1,000 penyokong sempena ceramah Jelajah Perpaduan PMX @ Tanjong Sepat di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat pada 1 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM seru tolak pemimpin rasuah, kecam pihak tidak hormati institusi diraja

SEPANG, 2 OGOS: Pemimpin terpalit rasuah yang mencuri hak rakyat mesti ditolak dan ditentang daripada menerajui pentadbiran negara, tegas perdana menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat perlu bijak membuat pilihan dengan menilai pemimpin yang ikhlas bekerja dan tidak terlibat dalam sebarang salah laku.

“Lapan bulan (kerajaan perpaduan) memerintah, ada dengar kes curi duit, tanah atau balak? Tiada. Masa Perikatan Nasional jaga, Jana Wibawa sakau, duit untuk banjir, diam. Minyak masak untuk orang susah pun curi. Apa jenis manusia ini?

“Sebab itu saya minta kerjasama semua. Memang betul terus terang sudah lama saya tunggu untuk jadi perdana menteri, tetapi untuk apa? Mahu kerja bantu rakyat,” katanya dalam ceramah malam tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu juga menegaskan tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pemimpin yang terlibat rasuah dan mencuri duit rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut meriah oleh lebih 1,000 penyokong sebaik tiba di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat sempena ceramah Jelajah Perpaduan PMX @ Tanjong Sepat pada 1 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Apa jadi kalau ada menteri, menteri besar atau ketua menteri curi harta rakyat semasa saya jadi perdana menteri? Saya tendang dia keluar, tangkap masuk penjara,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang tidak menghormati dan mengaitkan institusi diraja dengan kancah politik.

“Orang yang salah guna, main nama raja, tangkap dia masuk penjara. Semalam, Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) murka sebab PAS main soal raja. PAS kata (Sultan Perak) sokong PAS.

“Sultan titah pejabat Baginda buat laporan polis. Saya setuju,” katanya mengulas tindakan itu berikutan video tular yang mengaitkan Sultan Nazrin untuk meraih kepentingan politik.

Isnin lalu, pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung video tular yang memetik sebahagian titah Sultan Nazrin untuk mengheret kedudukan Baginda bagi politik kepartian.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin percaya petikan titah pada 2013 itu untuk mempengaruhi pengundi menyokong PAS dalam pilihan raya negeri.

 


Pengarang :