GOMBAK, 2 OGOS: Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan lebih RM500 juta pada tahun ini bagi memperkasa institusi Islam di negeri ini, dengan sebahagian besarnya disalur ke sekolah agama.
Dato’ Menteri Besar berkata sekurang-kurangnya dua projek pembinaan masjid baharu juga diluluskan saban tahun, menafikan dakwaan jumlah rumah ibadah itu berkurang bawah Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Seluruh Selangor kita ada lebih 436 masjid, tiap-tiap tahun ada sahaja satu atau dua masjid dibina baharu dan dua tiga lagi yang sambungan projek.
“Ada dengar kita roboh masjid? Ada dengar kita cuba halang sesuatu yang membawa ilmu dan pendidikan Islam?” soalnya dalam ceramah Arus Merah Kuning di Rawang malam tadi.
Pengerusi HARAPAN Selangor itu turut mendedahkan permainan politik pembangkang yang masih menimbulkan iu 3R (raja, agama dan kaum) dalam kempen pilihan raya negeri (PRN).
Amirudin turut menegaskan wakil rakyat bukan Islam tidak pernah mempertikai pembangunan Islam di negeri itu sepanjang HARAPAN mentadbir Selangor dalam tempoh tiga penggal.
“Saya lihat ada beberapa petikan cuba dilontarkan masih main isu 3R. Saya dapat laporan mereka (pembangkang) ‘cucuk’ pengundi dari rumah ke rumah. Bangkitkan habislah kalau undi Barisan Nasional dan HARAPAN, DAP akan berkuasa.
“Sudah tiga penggal HARAPAN di Selangor, Alhamdulillah sinar dan pembangunan Islam tidak pernah dipertikai wakil rakyat DAP mahupun yang bukan beragama Islam,” katanya lagi.
Hari pengundian bagi PRN Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 12 Ogos.