Calon HARAPAN DUN Taman Templer Anfaal Saari memberi penerangan kepada warga emas yang menghadiri program saringan dan tips kesihatan di Taman Selayang Mutiara ,Jalan Mutiara 3/4, Batu Caves pada 3 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Anfaal tekad tingkat akses Internet untuk Orang Asli Kampung Bukit Lagong

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 4 OGOS: Calon HARAPAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer komited membantu masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Lagong mendapat capaian lebih baik jika diberi mandat mewakili komuniti itu selepas pilihan raya negeri.

Anfaal Saari berkata ia menerusi penyediaan akses Internet lebih meluas dalam komuniti itu yang sebelum ini agak terbatas.

“Kita akan bawa perkara ini untuk perhatian Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil untuk tindakan lanjut.

“Walaupun penyediaan kemudahan pemasangan tiang telekomunikasi membabitkan kos tinggi namun ia akan diberi keutamaan demi pendidikan anak-anak ini walaupun penduduk di perkampungan ini hanya 174 orang,” katanya.

Terdahulu beliau menyantuni dan menziarah etnik itu pada program lawatan di Perkampungan Orang Asli Kampung Bukit Lagong di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Amanah Selayang Wan Anwar Wan Ibrahim.

Mengulas lanjut Anfaal berkata capaian akses Internet yang lebih luas membantu anak Orang Asli meneroka dunia luar.

“Walaupun Bukit Lagong tidak jauh (dari pusat bandar) namun anak-anak ini masih belum meneroka Selangor justeru saya berhasrat menekankan aspek pendidikan dengan beri akses supaya mereka dapat lihat dan corak masa depan yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya beliau juga akan meneliti penyelesaian yang boleh dilakukan berikutan menerima aduan penduduk mengenai hasil hutan yang didakwa semakin berkurangan.

“Saya perlu teliti dan dapatkan situasi semasa sama ada pekerjaan mereka yang bergantung sumber alam di hutan terjejas atau sudah berasimilasi dengan dunia luar di mana mereka mempunyai pekerjaan di luar dan tidak lagi bergantung dengan sumber alam,” katanya.

Penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain, 29 Julai lalu dan hari mengundi  12 Ogos.


Pengarang :