OLEH AZIAN AZIZ
HULU KELANG, 4 OGOS: Masyarakat berbilang kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang diminta menolak kempen politik yang membawa agenda perpecahan dan bibit perkauman.
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli berkata amalan tersebut tidak boleh diterima kerana dikhuatiri mampu menggugat keamanan dan kemakmuran negeri.
“Jangan kita biarkan bibit-bibit perpecahan dan pemimpin yang cuba pecah belahkan kita masuk ke Hulu Kelang dan Selangor untuk menakut-nakutkan rakan dan keluarga kita daripada pelbagai kaum.
“Kita hidup dalam masyarakat majmuk pelbagai kaum di Hulu Kelang ini di Taman Melawati khususnya dengan penuh aman, sentosa, harmoni dan akan kekal bersatu padu, ” katanya.
Beliau berucap demikian di Taman Melawati, malam tadi, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan EXCO Kerajaan Negeri Hee Loy Sian.
Sementara itu, dalam ceramah berasingan, Juwairiya bertekad untuk memberi yang terbaik kepada penduduk Hulu Kelang yang dianggap sebagai keluarganya jika diberi mandat.
“Kita bukan seperi pihak sebelah sana yang buat janji ‘copy paste’ (tiru) seperti beri air percuma yang kita sudah lama buat antara 10 ke 15 tahun dulu,” katanya.
Timbalan ketua wanita Parti Keadilan Rakyat itu akan berdepan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos.