Calon HARAPAN DUN Permatang Mohd Yahya Mat Sahri atau Pak Ya sedang menganyam ketupat ketika singgah menyantuni orang ramai di Warung Ketupat Yan di Kampung Ujong Permatang, Tanjong Karang pada 3 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pak Ya tekad bantu pelajar lepasan tahfiz dalam pekerjaan

Oleh NAJAMUDDIN MOHD NOR

TANJONG KARANG, 4 OGOS: Calon HARAPAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bertekad memainkan peranan dalam menyelesaikan isu pasaran kerja terhad yang dihadapi lepasan tahfiz.

Mohd Yahya Mat Sahri atau Pak Ya berkata peluang memasarkan diri di alam pekerjaan akan lebih meluas jika lepasan tahfiz memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Terdapat 12 pusat tahfiz yang mendapat pengiktirafan dan kebenaran Kerajaan Negeri di DUN Permatang, Pak Ya akan mengemukakan cadangan agar kerjasama dengan Universiti Selangor (Unisel) mewujudkan program ‘Fast Track SPM’ untuk semua pelajar tahfiz.

“SPM sijil asas dan wajib ada untuk membina kerjaya di Malaysia selain melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi,” katanya pada sidang media.

Selain itu, Pak Ya bercadang mewujudkan program Halal TVET sebagai platform melahirkan pengamal industri halal yang berkemahiran, berilmu dan beriman.

“Mereka akan dilatih menjadi pekerja mahir, pegawai atau usahawan dalam industri halal hab negara.

“Program Halal TVET akan dikendali Majlis Ekonomi Halal (MEH) dengan kerjasama Halal Developmen Corporation (HDC), sokongan kerajaan negeri dan jabatan agama,” katanya.

DUN Permatang menyaksikan pertarungan dua penjuru antara Pak Ya dan Nurul Syazwani Noh dari Perikatan Nasional.

Hari mengundi pilihan raya negeri 12 Ogos ini.


Pengarang :