Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melancarkan Skim INSAN Takaful di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (dua, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Skim insurans patuh syariah bakal manfaatkan tiga juta warga Selangor

KAJANG, 4 OGOS: Kerajaan Negeri melancarkan Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN) patuh syariah bermula hari ini, yang bakal memanfaatkan tiga juta penduduk beragama Islam di Selangor.

Dikenali sebagai Skim INSAN Takaful, Dato’ Menteri Besar menjelaskan pencarum akan mendapat perlindungan sehingga RM10,000, manakala waris menerima RM1,000 jika berlaku kematian.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan skim percuma itu turut menawarkan perlindungan RM20,000 bagi kes kemalangan di luar negara dan tuntutan RM50 sehari jika dimasukkan ke hospital.

“Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta bagi melaksanakan skim yang menitikberatkan elemen patuh syariah untuk memastikan masyarakat beragama Islam tidak ragu-ragu mendaftar.

“Skim ini bukan untuk meraih undi tetapi berdasarkan pengalaman berdepan Covid-19, kita nampak mereka yang tidak dilindungi insurans, keluarganya terancam jika berlaku kematian,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menyampaikan cek cura kepada waris pencarum ketika melancarkan Insan Takaful sempena majlis perasmian Tekad Insani #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Norita Mohd Sidek (tiga, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bercakap ketika merasmikan program itu di sini hari ini, Amirudin menjelaskan skim yang ditambah baik daripada polisi konvensional bukti pentadbiran negeri efisien menjaga kebajikan rakyat.

Sebagai permulaan, katanya, insurans itu ditawarkan kepada penduduk beragama Islam, namun tetap mengalu-alukan permohonan daripada masyarakat bukan beragama Islam.

“Ini anjakan baharu selepas Kerajaan Negeri berbincang dengan banyak pihak antaranya Jabatan Mufti dan jabatan agama untuk memastikan umat Islam patuh syariah dan mengikut landasan serta peradaban demi keutuhan sistem,” katanya.

INSAN diperkenal tahun lalu bagi melindungi semua penduduk negeri ini seawal usia 30 hari hingga 80 tahun dengan kos premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran dibuat melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Untuk maklumat lanjut, layari programinsan.com.

 


Pengarang :