Calon Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri pada sidang media di Bilik Gerakan media DUN Permatang pada 4 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pak Ya dekati pengundi menerusi aplikasi sistem pesanan ringkas, WhatsApp setiap hari

TANJUNG KARANG, 4 OGOS: Enggan memastikan tiada sesiapa yang tercicir, calon Permatang menggunakan aplikasi sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) dan WhatsApp untuk mendekati masyarakat.

Mohd Yahya Sahri, 54, berkata beliau dan pasukannya menghantar kiriman tersebut kepada kira-kira 31,000 pengundi sebagai penghubung sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) ini.

“Pengundi di sini akan menerima SMS dan WhatsApp daripada saya setiap pagi. Kiriman itu adalah seperti bertanya khabar atau mendoakan kesejahteraan mereka.

“Saya sudah buat perkara ini sejak sebelum tempoh berkempen lagi. Ketika itu saya hantar SMS dan WhatsApp mengenai inisiatif yang dibuat Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Yahya atau lebih mesra dipanggil Pak Ya berkata, beliau sudah mendekati hampir 40 peratus pengundi secara fizikal dalam tempoh seminggu sepanjang kempen PRN ini.

Menurutnya, beliau menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada semua pihak, sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk memenangi kerusi Permatang.

“Daripada pagi sehingga ke malam, syukur kami terima respon yang sangat baik. Ia beri keyakinan kepada saya dan pasukan saya yang telah bertungkus lumus sepanjang berkempen ini,” katanya.

Mohd Yahya bertanding dengan calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Syazwani Noh dalam pertembungan satu lawan satu pada PRN yang berlangsung 12 Ogos ini.

Kerusi itu sebelum ini disandang Rozana Zainal Abidin dari HARAPAN dengan majoriti 1,158 undi.


Pengarang :