Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Jelajah Madani peringkat DUN Lembah Jaya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 3 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amirudin saman, Sanusi fitnah mahu alih skandal REE

SHAH ALAM, 4 OGOS: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melempar fitnah terhadap Kerajaan Selangor semalam bagi mengalih perhatian daripada skandal unsur bumi nadir (REE).

“Ucapan beliau tersebut jelas adalah fitnah, dan merupakan percubaan oleh seorang yang amat terdesak dan ingin pengalihan persepsi daripada segala dakwaan skandal REE yang terpalit ke atas beliau, yang masih gagal dijawab secara berfakta sehingga kini.

“Dengan tegas saya menafikan sekeras-kerasnya segala bentuk dakwaan dan tuduhan tersebut,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, menjawab tohmahan Sanusi ketika berceramah di Jitra, Kedah pada 2 Ogos.

Beliau berkata projek pembangunan Sungai Klang telah dijelas dengan panjang lebar di sidang Dewan Negeri Selangor tahun lalu dan awal tahun ini, selain pada satu sidang Parlimen pada 1 Mac.

“Justeru saya telah berbincang dengan peguam saya dan akan memulakan proses tindakan undang-undang terhadap YAB Sanusi dengan segera atas fitnah yang dilontarkan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada suntikan dana negeri

Pembangunan menyeluruh Sungai Klang bertujuan mengawal pencemaran air, mengatasi banjir dan memajukan tanah di pinggirnya.

Projek itu mendapat kelulusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Sesi libat urus projek diadakan dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak perunding.

Dianggar bernilai RM700 juta, keseluruhan kerja pendalaman dan pelebaran Sungai Klang sepanjang 56km dalam tempoh lima tahun dilaksana secara berperingkat. Ia tidak melibatkan suntikan tunai daripada Kerajaan Negeri.

Semalam, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), peneraju projek inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) yang melibatkan Sungai Klang, mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin politik melempar fitnah terhadapnya.

Sementara itu, peranan Sanusi sebagai pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dipertikai susulan kecurian REE di hutan simpan kekal Bukit Enggang, Sik seperti disebut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beberapa EXCO kerajaan Kedah, ketua pegawai eksekutif MBI Kedah dan pegawai kanan Sanusi dilaporkan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lepas.

Isu tersebut mencetuskan minat ramai di seluruh negara berikutan perang mulut antara beliau dengan Saifuddin yang berpanjangan sejak beberapa minggu lepas.

 


Pengarang :