Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Tekad Insani #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Norita Mohd Sidek (kiri). Foto AHMADZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat puas hati Tawaran Kita Selangor, insentif haji antara dapat perhatian

HULU LANGAT, 4 OGOS: Rakyat menyambut baik pengumuman tawaran yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah bantuan RM1,000 kepada wanita berkerjaya serta insentif RM2,000 kepada 3,000 jemaah haji muassasah.

“Sambutan sangat baik termasuk cadangan landasan rel kereta api seperti LRT (Transit Aliran Ringan) dan MRT (Transit Aliran Deras) sampai Kuala Selangor selain pembangunan tiga kawasan bandar.

“Beberapa solusi tambahan antaranya 200,000 pelajar PTRS (Program Tuisyen Rakyat Selangor), latihan TVET kepada 10,000 pelajar dan 100,000 peluang kerjaya,” katanya ditemui ketika pelancaran Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN) Takaful hari ini.

Pada Isnin, Amirudin yang juga pengerusi HARAPAN negeri melancarkan Tawaran Kita Selangor yang merangkumi banyak sektor penting bagi meneruskan kemajuan sedia ada.

Sebahagian kandungan yang terdiri daripada lima teras telahpun dimulakan pentadbiran Dato’ Menteri Besar itu manakala ada program termuat dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).


Pengarang :