OLEH JULIANA JOHAR
SUNGAI BULOH, 5 OGOS: Penubuhan pusat hentian rehat buat pemandu p-hailing antara cadangan yang akan dilaksanakan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.
Penyandang EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor itu berkata beliau sudah mengenal pasti dua lokasi strategik iaitu di Saujana Utama dan Bandar Baru Sungai Buloh bagi tujuan terbabit.
“Saya ingin bina ‘one stop centre’ buat pemandu p-hailing, saya mahu mereka berehat dan solat sementara tunggu tempahan disiapkan.
“Perkara ini ada dalam manifesto dan saya yakin ia dapat dilaksanakan jika diberi mandat sekali lagi,” katanya berucap dalam ceramah kelompok bersama golongan belia di Kampung Paya Jaras Hilir, di sini.
Selain itu, penyandang DUN Paya Jaras itu juga mahu membina lebih banyak gelanggang futsal dan padang bola sepak untuk dimanfaatkan golongan belia.
DUN Paya Jaras menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Mohd Khairuddin, Dato’ Dr Ab. Halim Tamuri (Perikatan Nasional) dan calon bebas, Nurhaslinda Basri.