Calon Tanjong Sepat Borhan Aman Shah (berdiri, tengah) menyertai program senamrobik dan sukaneka bersama rakyat di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 5 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tingkat potensi Pantai Batu Laut sebagai pusat sukan perahu layar

KUALA LANGAT, 5 OGOS: Selain dijadikan lokasi pelancongan terkemuka, Pantai Batu Laut turut berpotensi sebagai pusat sukan perahu layar menerusi pembinaan prasarana baharu.

Penyandang kerusi Tanjong Sepat Borhan Aman Shah menjelaskan pusat yang akan dibina selewat-lewatnya awal tahun depan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk hostel.

“Jeti juga akan dibuat baharu bagi memudahkan pelayar mendaratkan perahu mereka,” katanya ditemui selepas menyertai program senamrobik dan sukaneka di Dataran Pantai Batu Laut hari ini.

Borhan berkata kemudahan terbaharu itu juga akan terus merancakkan aktiviti ekonomi setempat, lebih-lebih lagi lokasi berkenaan tempat berlangsung kejohanan perahu layar.

“Selain Pulau Langkawi dan Terengganu, pantai Batu Laut menjadi aset Selangor bagi aktiviti perahu layar disebabkan arus yang sesuai dan tiada risiko ombak tinggi,” katanya.

Dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini, kerusi Tanjong Sepat menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Borhan mewakili Pakatan Harapan menentang Sabirin Marsono (Perikatan Nasional).


Pengarang :