Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi calon Pakatan Harapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Juwairiya Zulkifli serta calon Barisan Nasional Dato’ Megat Zulkarnain Omardin ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu Gombak pada 29 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tinjauan: 76 peratus pengundi pilih Amirudin kekal MB, 8 peratus sahaja mahu Azmin

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sebanyak 76 peratus pengundi pelbagai kaum dan 69 peratus pengundi Melayu mahu Dato’ Seri Amirudin Shari terus kekal sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor, menurut firma tinjauan pendapat Endeavour-MGC (EMGC).

Tinjauan sama mendapati 61 peratus pengundi pelbagai kaum dan 56 peratus pengundi Melayu memilih Amirudin sebagai calon menteri besar selepas pilihan raya hujung minggu ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hanya menjadi pilihan 8 peratus pengundi pelbagai kaum dan 10 peratus pengundi Melayu di 34 kerusi marginal di Selangor yang menjadi fokus tinjauan.

Pesuruhjaya PAS negeri Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi bukan pilihan pengundi, hanya mendapat 4 peratus sokongan pengundi pelbagai kaum dan 6 peratus pengundi Melayu.

Biarpun tidak bertanding dalam pilihan raya negeri, bekas menteri Khairy Jamaluddin memperoleh 13 peratus sokongan pelbagai bangsa dan 16 peratus pengundi Melayu.

Kira-kira 77 peratus pengundi pelbagai kaum dan 70 peratus pengundi Melayu berpuas dengan kepemimpinan Amirudin sebagai Dato’ Menteri Besar sejak 2018.

Sebanyak 75 peratus pengundi pengundi pelbagai kaum dan 68 peratus pengundi Melayu berpuas hati dengan pencapaian Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir negeri.

Kira-kira 62 peratus pengundi pelbagai kaum dan 52 peratus bersedia mengundi HARAPAN pada 12 Ogos ini, sementara Barisan Nasional (BN) mendapat masing-masing 11 dan 10 peratus sokongan lagi.

Hanya 22 peratus pengundi pelbagai kaum dan 31 peratus pengundi Melayu bercadang menyokong PN. Satu peratus berhasrat menyokong Parti Sosialis Malaysia dan tiada sokongan kepada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Majoriti pengundi juga mendukung pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebanyak 73 peratus pengundi pelbagai kaum dan 64 peratus pengundi Melayu berpuas hati dengan kepemimpinan beliau sebagai perdana menteri dan juga prestasi Kerajaan Perpaduan.

Sebanyak 76 peratus pengundi pelbagai kaum dan 69 peratus pengundi Melayu mendukung pembentukan Kerajaan Perpaduan antara HARAPAN dan BN.

Tiada gabungan mendapat majoriti mudah, menjadikan keadaan Parlimen tergantung, dalam pilihan raya umum November lalu. Maka HARAPAN (82 kerusi) mengajak BN (30 kerusi) membentuk kerajaan bersama Gabungan Parti Sarawak (22), Gagasan Rakyat Sabah (6) dan sejumlah lagi parti.

Untuk pilihan raya negeri kali ini, sebanyak 61 peratus pengundi pelbagai bangsa dan 58 peratus responden Melayu mengutamakan parti sebagai pilihan utama mereka berbanding calon, diikuti faktor individu, agama, ekonomi dan bangsa.

Tinjauan EMGC yang melibatkan 1,068 responden pelbagai bangsa dibuat antara 22-28 Julai, seminggu menjelang hari penamaan calon pada 29 Julai lalu.

Kira-kira 62 peratus pengundi pelbagai etnik ini dan 52 peratus pengundi Melayu mengundi HARAPAN dalam pilihan raya umum 19 November tahun lalu.


Pengarang :