Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dalam ceramah kelompok bersama golongan belia di Kampung Paya Jaras Hilir pada 4 Ogos 2023. Foto JULIANA JOHAR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Khairuddin azam selesai isu banjir di Paya Jaras, beberapa usaha sudah dilaksana

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM 6 OGOS: Mengakui usaha menyelesaikan isu banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras tidak mudah, namun Mohd Khairuddin Othman bertekad mahu menyelesainya.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata pihaknya sudah mendalamkan Sungai Kedondong dan akan disusuli dengan kerja melebar dan mendalamkan Sungai Buloh secara sistematik.

Sebagai langkah penyelesaian sementara pula, beliau akan menggiatkan usaha meninggikan tebing Sungai Subang dengan segera mengelak penduduk Kampung Kubu Gajah terjejas banjir.

“Kerja mendalamkan Sungai Kedondong telah kita laksanakan namun timbul masalah lain iaitu aliran air deras sehingga menjejaskan penduduk sekitar kampung ini (Kubu Gajah).

“Selepas selesai dengan kerja meninggikan tebing Sungai Subang, saya akan gesa kerajaan untuk melebarkan sungai secara sistematik di kawasan Sungai Buloh dan menamatkan isu banjir tersebut,” katanya.

Isu banjir di Paya Jaras disebabkan limpahan air sungai di Sungai Buloh, Sungai Subang dan Sungai Kedondong sekiranya hujan lebat dan memberi kesan kepada penduduk Kampung Kubu Gajah.

“Cubaan pihak lawan memainkan isu banjir sepanjang saya menjadi wakil rakyat di sini adalah tidak munasabah kerana nak selesaikan banjir bukan senang atau semudah disangka.

“Jadi saya harap, pengundi tanya semula kepada pihak yang cuba mainkan isu ini sebagai modal politik apa rancangan mereka untuk atasi. Saya berani jamin pihak berkenaan tidak tahu pun kedudukan kesemua sungai di Paya Jaras ini,” katanya.


Pengarang :