Usahawan Hijrah Selangor Mahmud Mastam memberi arnab makan dalam program Kembara Sukses Hijrah Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bantu 30,000 usahawan peroleh pendapatan lebih RM5,000 sebulan

SHAH ALAM, 6 OGOS: Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat dan tidak terlalu ketat sejak 2020, berjaya membantu lebih 30,000 usahawan memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM5,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail berkata setakat Julai, pembiayaan melalui Yayasan Hijrah Selangor itu telah diluluskan buat 72,000 usahawan dengan nilai terkumpul berjumlah RM645 juta.

“Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil, yang menghadapi masalah kekurangan modal awalan dan mendapatkan modal pusingan tambahan.

“Pembiayaan ini melibatkan beberapa skim dan julat nilainya antara RM1,000 hingga RM50,000 serta yang paling besar ialah RM100,000,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Rodziah berkata program itu diwujudkan bagi mengalihkan usahawan di negeri ini daripada membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman tidak berlesen (along).

“Apabila terma dan syarat pembiayaan Hijrah Selangor kita mudahkan, kita lihat ramai yang telah berubah daripada terlalu bergantung harap kepada mana-mana pihak, kini mereka boleh berdikari dengan perniagaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata sebilangan usahawan berkenaan juga berjaya meneroka pasaran luar negara seperti di Indonesia, Thailand dan China, malah sehingga Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Kanada.

“Kerajaan negeri juga telah membawa usahawan-usahawan yang terpilih menyertai beberapa pameran dan ekspo di luar negara sebagai pendedahan kepada pasaran antarabangsa selain potensi padanan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata kerajaan Selangor akan melancarkan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana Negeri Selangor 2023-2027.

“Matlamat utama pelan strategik ini ialah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda sosioekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan untuk meningkatkan bilangan usahawan yang berkelayakan, berdaya maju dan berdaya tahan.

“Selain itu juga, bagi meningkatkan keupayaan usahawan tempatan terutamanya dalam bidang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk terus maju serta kekal relevan dalam persekitaran ekonomi semasa yang berubah-rubah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :