Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Kadir mengadakan pertemuan secara maya bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada 5 Ogos 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Kukuh kerjasama Malaysia-Turkiye

Advertorial

Kenyataan penuh yang disiarkan di Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Ogos 2023.

Malam tadi saya telah mengadakan pertemuan secara maya bersama sahabat saya Presiden Turkiye, Recep
Tayyip Erdogan. Saya turut ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir.

Sebelum kami memulakan perbincangan, Presiden Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan
perpaduan dalam pilihan raya di enam negeri negeri di Malaysia.

Saya turut menyampaikan salam Azizah serta keluarga kepada Amina dan keluarga dan keinginan untuk bersua muka dalam kesempatan terdekat.

Dalam sesi ini, Presiden Erdogan memberikan komitmen jelas bahawa beliau akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan saya untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Saya dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat bulan depan.

Kami berdua turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye.

Saya turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).

Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air
akan bermula pada Oktober 2023.

Kami turut berbincang terkait kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.

Saya berasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia – Turkiye. Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat.

Untuk rekod, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (meningkat
sebanyak 12.6%). Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak
sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

Saya juga menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan
serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.

Saya juga menggunakan kesempatan ini untuk maklumkan kepada Presiden Erdogan terkait usaha
Malaysia menentang Islamophobia (permusuhan dan benci ke atas islam) iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden. Saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan
bersuara yang diagungkan oleh Barat.

Lantaran itu, Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah AlQuran di
seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu
usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam.

Dan akhir sekali, saya turut sampaikan salam anakanak pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang saya
temui petang semalam dalam program Temu Anwar kepada Presiden Erdogan.


Pengarang :