Calon Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman ketika menghadiri Ceramah Mega Perpaduan di Balai Masyarakat Saujana Utama pada 6 Ogos 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Calon Paya Jaras tidak gentar tuduhan, nekad teruskan khidmat pada rakyat

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

PAYA JARAS, 7 OGOS: Calon Mohd Khairuddin Othman tidak gentar dituduh tidak turun padang ketika menjadi Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, sebaliknya nekad mahu terus berbakti dan menjaga kebajikan penduduk sekiranya diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN).

Menyifatkan tuduhan pihak lawan semata-mata untuk meraih undi, Mohd Khairuddin berkata dia sudah berkhidmat untuk penduduk Paya Jaras sejak 2008 dan dipilih menjadi wakil rakyat selama dua penggal berturut dalam pilihan raya umum.

“Oleh sebab mereka (pembangkang) tidak dapat mencari isu, maka di media sosial giat menuduh saya tidak pernah turun padang. Hakikatnya saya sudah berada di Paya Jaras sejak 2008 lagi. Mana mungkin saya tidak turun padang ketika menjadi wakil rakyat?

“Kalau tidak turun padang, mana mungkin saya boleh menang dua penggal berturut-turut pada 2013 dan 2018,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan di Balai Masyarakat Saujana Utama, malam tadi.

Terdahulu Khairuddin tiba bersama lebih 200 konvoi bermotosikal dan ceramah yang dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan disertai lebih 500 penduduk.

Justeru, beliau meminta pengundi tidak mudah termakan hasutan pihak lawan yang dilihat terdesak dan memberi peluang kepadanya untuk terus mewakili suara mereka. Hari mengundi pilihan raya negeri ditetapkan 12 Ogos ini.

 

 


Pengarang :