Calon DUN Dengkil Noorazli Said (dua, kanan) mempergiatkan kempen dengan bertemu dan menyantuni penduduk komuniti Cina ketika program ‘walkabout’ di Dewan JKKK Seri Dengkil Kampung Baru Cina, Sepang pada 5 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pengundi Dengkil tolak isu kaum, agama jadi modal kempen

SHAH ALAM, 7 OGOS: Rata-rata pengundi tidak setuju isu perkauman dan agama dijadikan bahan kempen untuk meraih sokongan menjelang hari pengundian pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Dengkil menegaskan pihaknya tidak pernah mengabaikan prinsip perjuangan untuk membela Melayu dan Islam meskipun landskap politik berubah.

“Setakat hari ini kempen yang sudah memasuki separuh masa kedua, masyarakat termasuk penyokong dari Pakatan Harapan (HARAPAN) di Dengkil mula faham kebersamaan HARAPAN-BN ini menjadi tunjang kepada kekuatan negara kita.

“Bila saya turun ke kampung dalam sesi walkabout, mereka berasa yakin dengan calon-calon Kerajaan Perpaduan dan berasa muak dengan permainan isu kaum dan agama yang hanya muncul ketika waktu pilihan raya,” kata Noorazli Said.

Calon DUN Dengkil Noorazli Said (tengah) beramah mesra dengan Tok Batin Ungau Pah (empat, kiri) sambil diperhatikan penduduk kampung ketika melakukan sesi suai kenal calon di Balai Raya Kampung Orang Asli Batu 28, Jenderam Hilir Sepang pada 30 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Beliau berkata pengundi memberi maklum balas baik terhadap visi dan misi dibawa gabungan HARAPAN-BN melalui manifesto ‘Kita Selangor’ dan tidak akan terjerat dengan kempen kaum dan agama yang dimainkan parti lawan.

“Saya akui pada awal tempoh kempen memang satu cabaran untuk yakinkan pengundi khususnya di saluran satu dan dua di kawasan luar bandar yang setia pada BN.

“Kalau dahulu hanya mengundi BN tetapi kini ada sedikit perubahan gabung dengan HARAPAN dan ada kegusaran. Kita jelaskan kerjasama dengan kawan baharu dalam politik ini ada mempunyai visi membawa negeri ke arah lebih baik dan pengundi Dengkil sudah faham,” katanya.

DUN Dengkil menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila Noorazli dicabar Datuk Seri Jamil Salleh (Perikatan Nasional), Darren Ong (Parti Sosialis Malaysia) dan Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat).


Pengarang :