AGENDAJENAYAH

Polis lepas sembilan das tembakan selepas cuba dilanggar penjenayah

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Polis terpaksa melepaskan sembilan das tembakan ke arah sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki selepas mereka enggan memberhentikan kenderaan apabila diarah berbuat demikian oleh anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) di Jalan Kepong di sini pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam kejadian pada kira-kira 7.45 pagi itu, anggota URB telah mengesan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki bersama rakannya dalam keadaan mencurigakan di Taman Pusat Kepong di sini sebelum diarah berhenti.

“Bagaimanapun, suspek bertindak memecut kereta itu sehingga melanggar kenderaan awam… malah suspek juga mengundurkan kereta yang dipandu serta melanggar anggota URB menyebabkan anggota polis terlibat cedera di kaki dan motosikalnya mengalami kerosakan.

“Bagi mempertahankan keselamatan, dua anggota terbabit terpaksa melepaskan sembilan das tembakan ke arah tayar kereta suspek dan menyebabkan kenderaan itu terbabas di Jalan Rimbunan, Jalan Kepong,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemukan besi buruk yang dipercayai dicuri.

Mohd Shuhaily berkata semakan nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia milik seorang wanita dan siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti hubungannya dengan kedua-dua suspek.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis kini giat mengesan O Ganesan, 40, bagi membantu siasatan.

Katanya Ganesan didapati memiliki tiga rekod jenayah dan lapan rekod kes dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 353 kanun sama kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam yang menjalankan kewajipan sah di sisi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 13 saat yang memaparkan anggota URB mengejar dan melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta sehingga menyebabkan kenderaan lain berhenti di tepi jalan.

-BERNAMA


Pengarang :