Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas membentangkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gabungan HARAPAN-BN utuh, mampu tadbir negara dalam tempoh panjang

SHAH ALAM, 8 OGOS: Gabungan utuh antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan perpaduan diyakini mampu mentadbir negara untuk tempoh panjang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga percaya kedua-dua gabungan itu berupaya melonjakkan ekonomi negeri dan negara bersandarkan prestasi sebelum ini.

“Atas nama kestabilan, saya mahu negara mempunyai pentadbiran utuh untuk lima tahun lagi. Saya rasa ini (gabungan) resipi untuk kestabilan,” katanya dalam Podcast Keluar Sekejap petang semalam.

Program kendalian mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan itu mengupas isu politik dan hal ehwal semasa dengan gaya santai.

Mengulas soalan jika resipi gabungan itu boleh melemahkan HARAPAN, Amirudin mengakui ia perlu dikekalkan untuk memulihkan ekonomi negara meskipun sukar diterima sesetengah pihak.

“Kita perlu terima hakikat dalam satu gabungan tidak dapat semua, tetapi gambaran besar ia perlu kekal. Kerajaan Negeri dan persekutuan harus selari dan seimbang.

“Ini demi memulihkan ekonomi terutama selepas pandemik Covid-19 dan pelbagai krisis yang berlaku sebelum ini,” katanya yang juga pengerusi HARAPAN Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin yakin HARAPAN-BN mampu memenangi antara 38 atau 39 daripada 56 kerusi yang dipertanding dalam pilihan raya negeri Sabtu ini.


Pengarang :