Calon HARAPAN DUN Bukit Malawati Thiban Subbramaniam bersama Naib Ketua Persatuan Vateran Cawangan Kuala Selangor Azhar Hashim dan Ahli Jawatankuasa Rosli Hashim di Restoran Kassim Maju, Sasaran Sungai Buloh pada 31 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Dekati 70 peratus pengundi Bukit Melawati, gembira diterima baik

KUALA SELANGOR, 8 OGOS: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Bukit Melawati sudah mendekati lebih 70 peratus pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN).

Menurut Thiban Subbramaniam, beliau menerima maklum balas yang sangat positif daripada penduduk selain diberi semangat untuk memenangi kerusi tersebut.

“Penerimaan pengundi sangat positif setakat ini. Mereka bersemangat untuk memilih Kerajaan Negeri dan mereka juga nampaknya sudah bersedia.

“Saya nampak momentum itu. Di mana-mana sahaja saya pergi, saya akan disapa dan mereka beri kata-kata semangat kepada saya untuk menang,” katanya selepas meninjau pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini hari ini.

Calon Bukit Melawati Thiban Subbramaniam diberi penerangan oleh Ketua Cawangan KWSP, Shahrul Nizam Mat Saleh Ketika meninjau Hari Bertemu Pelanggan di KWSP Kuala Selangor pada 5 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Ahli Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN itu menambah, beliau akan melancarkan ‘Tekad Thiban Untuk Bukit Melawati’ esok yang mengandungi lima aspek penting untuk memajukan DUN itu.

“Antaranya adalah membangunkan Bukit Melawati sebagai bandar mesra pelancong yang akan memberi kelebihan kepada warganya dari segi ekonomi, kesejahteraan hidup, dan pendidikan,” katanya.

Kerusi DUN Bukit Melawati menyaksikan saingan satu lawan satu antara Thiban, 35, dan calon Perikatan Nasional (PN), Noorazley Yahya. Kerusi itu sebelum ini disandang Juwairiya Zulkifli dari HARAPAN dengan majoriti 2,695 undi.


Pengarang :