Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam Ceramah Umum Pakatan Harapan DUN Sekinchan yang diwakili Ng Suee Lim di pekan Sekinchan pada 8 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: ‘Mood’ baik di utara Selangor, jentera terus pergiat kempen

SEKINCHAN, 9 OGOS: Dato’ Menteri Besar melihat penerimaan pengundi terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) di bahagian utara negeri bertambah baik sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan hal itu disumbang usaha berterusan daripada jentera parti, selain latar belakang calon dan penyandang kerusi yang meyakinkan.

“Saya lihat ada ‘mood’ yang baik di sini. Kita tidak pernah melupakan kawasan di utara Selangor. Kita akan terus bekerja kerana setiap undi itu amat bernilai.

“Saya harap semua orang dapat turun mengundi untuk pastikan memilih kesinambungan kemajuan kita,” katanya selepas menghadiri Ceramah Umum HARAPAN di pekan Sekinchan di sini, malam tadi.

Amirudin turut menaruh keyakinan HARAPAN bersama rakan komponen dalam kerajaan perpaduan akan membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.

Beliau juga tidak sesekali memandang rendah pihak yang berusaha melakukan serangan politik setiap hari membabitkan pelbgaai isu sepanjang kempen kali ini.

“Saya masih yakin dengan kemenangan dua pertiga atau 38 hingga 40 kerusi tetapi saya juga tidak mahu memandang rendah lawan kita. Pelbagai isu turun naik setiap hari, amun saya percaya 60 hingga 70 peratus rakyat sudah buat keputusan,” katanya.

Hari pengundian bagi PRN Selangor dan lima negeri lain berlangsung 12 Ogos.


Pengarang :