Sidang media Pertubuhan Profesor G70 di Shah Alam pada 9 Ogos 2023. Foto Pertubuhan Profesor G70
AGENDANASIONAL

72 profesor Melayu seru tolak calon pemfitnah, lagakan rakyat

SHAH ALAM, 9 OGOS: Pertubuhan Profesor G70 menyeru pengundi enam negeri supaya menolak calon yang menggunakan fitnah dan memainkan sentimen agama dan kaum termasuk melaga-lagakan rakyat.

Pengerusinya berkata gabungan yang didukung 72 profesor Melayu itu mengajak rakyat menolak ahli politik yang mengkhianati amalan demokrasi demi kedudukan politik dan kepentingan diri.

Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud menambah pihaknya meminta pengundi supaya menyokong calon yang memiliki prinsip integriti, amanah serta bebas gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau menjelaskan calon dari pakatan politik yang berupaya mengembalikan maruah negara, menegakkan keadilan, meningkatkan keharmonian kaum dan membaik pulih ekonomi harus disokong.

“Kami berpendirian pakatan politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah yang paling layak untuk menerima mandat baru,” katanya pada 9 Ogos.

Mereka antaranya Profesor Emeritus Sasterawan Negara Dr Muhammad Haji Salleh, Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam, Profesor Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain, Profesor Dato’ Dr Mohd Redzuan Othman dan Profesor Dato’ Seri Dr Md. Salleh Yaapar.

Teks deklarasi itu dibacakan Timbalan Pengerusi G70 Prof Emeritus Datuk Ir Dr Hassan Basri.

Ir Dr Wan Ramli juga menyifatkan Kerajaan Perpaduan dalam masa singkat menunjukkan urus tadbir baik, kestabilan politik dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Wajar Kerajaan Perpaduan peringkat pusat diberi peluang menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri demi perpaduan dan kemajuan negara ke tahap yang mengagumkan seluruh dunia,” katanya.


Pengarang :