Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dihadapan ribuan penduduk ketika Jelajah Perpaduan Madani Grand Finale Kuala Selangor di Tapak Pasar Malam Bestari Jaya, Ijok pada 10 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembangunan mudah ditumpu jika negeri bertanding PRN ditadbir Kerajaan Perpaduan

KUALA SELANGOR, 11 OGOS: Pembangunan negara boleh terus ditumpukan sekiranya lima daripada enam negeri berdepan pilihan raya negeri (PRN) ditadbir Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mahu membangunkan Malaysia di bawah rancangan ekonomi Madani yang di rencana bukan hanya untuk bersifat sementara.

“Kalau hendak selamatkan negara, perlu tunjuk ‘compassion’ dan kasih sayang pada semua rakyat. Sebab itu dalam ekonomi Madani, bukan nak pertahan setakat ini sahaja.

“Saya berpengalaman sedikit tetapi yakin dapat perkuat Kerajaan Selangor, menang bergaya di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dan dapat tembusi satu dua negeri lain, kita akan berada di kelas A kerana kita boleh tumpu pembangunan negara.

“Jadi saya harap kawan-kawan, kita tidak banyak masa lagi, tolong selamatkan, jangan cuai, this is about saving yourself, our family, our state and saving our country,” katanya berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Grand Finale Kuala Selangor di tapak pasar malam Bestari Jaya, Ijok semalam.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin rakyat Selangor menolak Perikatan Nasional (PN) dan menyokong Kerajaan Perpaduan berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang lapan bulan.

“Orang Selangor patut ajar dengan beri ‘knockout’ pada PN. Kalau tidak buat kerja, saya tak ‘confident’ cakap macam ini. Kalau saya tidak buat kerja, timbalan menteri, menteri kalau tak buat kerja sungguh-sungguh, saya tidak ada yakin cakap.

“Dari sekecil-kecilnya, orang paling miskin, sekolah Melayu, agama, Tamil dan Cina mana yang rosak tandas rosak dan pecah bumbung dan dining, saya katakan wajib disegerakan (baik pulih) tahun ini juga.

“Mana Pas dan Bersatu masa kamu memerintah? Tidak tahukah sekolah anak-anak kita, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, Siam, Dayak bolehkah kamu biarkan belajar dalam keadaan seperti itu…negara begitu makmur, maju dan kaya,” katanya.


Pengarang :