Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar (tengah) ketika ceramah Grand Finale Kota Raja di Bandar Puteri pada 10 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengundi diingat tidak terpengaruh fitnah menjelang hari mengundi

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

KLANG, 11 OGOS: Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan pengundi agar tidak terpengaruh dengan apa-apa fitnah dalam tempoh dua hari terakhir sebelum hari pengundian.

Nurul Izzah Anwar sebaliknya meminta mereka sampaikan maklumat tepat agar semua pengundi tahu kebenaran dan tetap mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN).

“Sudah kena tipu sekali, jangan kena lagi. Kita tidak akan dapat peluang ini lagi kalau kita tidak teliti pilihan kita pada hari pengundian nanti,” katanya pada ceramah Grand Finale Kota Raja di Bandar Puteri malam tadi.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan keyakinannya bahawa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sengaja melempar fitnah untuk mengelak daripada skandal unsur bumi nadir (REE) di Kedah.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri berkata pemimpin PAS tersebut dalam keadaan terdesak kerana tidak mampu memberi penjelasan skandal berkenaan sebelum menohmah Kerajaan Selangor.

Amirudin juga bertegas untuk meneruskan saman sekalipun ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu sedia memohon maaf atas fitnah terhadap anak syarikat Kerajaan Selangor.

Nurul Izzah juga menyeru penyokong melaksanakan kewajipan mengundi bagi memastikan Selangor kekal ditadbir Kerajaan Perpaduan demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Saya seru semua pengundi keluar beramai-ramai, kalau tak Kerajaan Perpaduan akan kecundang yang akhirnya menyebabkan semua program dan agenda membangunkan rakyat Selangor tidak dapat dilaksanakan.

“Tapi untuk memastikan ia tidak berlaku, kita perlu bersama-sama bersemangat untuk keluar mengundi dan tetap sokong kerajaan perpaduan,” katanya.


Pengarang :