Calon Sekinchan Ng Suee Lim berucap pada ceramah Grand Finale Pentas Perpaduan di Kapar pada 10 Ogos 2023. Foto ABDUL RAHIM SABRI/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

BN bukan lagi lawan, sokong demi perpaduan dan kestabilan

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

KLANG, 11 OGOS: Pengundi dan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) diseru memilih calon Barisan Nasional (BN), yang juga rakan gabungannya dalam pilihan raya negeri esok.

Seruan sama turut diajukan calon Sekinchan Ng Suee Lim kepada penyokong BN demi mencapai kemenangan bersama, seterusnya membentuk kerajaan perpaduan di Selangor.

“Inilah cabaran depan mata kita dalam tempoh 24 jam. Saya minta kedua-dua pihak untuk muhasabah, kita dalam satu keluarga besar kerajaan perpaduan,” kata mantan speaker Dewan Negeri Selangor.

“Di mana ada HARAPAN bertanding, dia calon kita. Di mana ada BN bertanding, itu calon kita. Wajib kita sokong supaya kita menang di Selangor.”

Berucap dalam ceramah di sini malam tadi, Sue Lim memberi contoh dirinya yang kini berkawan dengan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Yunos, seteru kuatnya suatu ketika dahulu.

“Dahulu lawan, sekarang kawan. Kawan demi perpaduan. Saya dengan dia tidak mahu bergaduh lagi. Cukup sudah. Kita mahu muafakat demi kestabilan dan kemakmuran Selangor dan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, calon Meru Mariam Abdul Rashid berkata tiada keperluan bagi rakyat untuk menukar pentadbiran negeri sedia ada yang mementingkan keharmonian semua kaum.

“Di Selangor ada Melayu, Cina, India, ada kita bergaduh? KIta hendak kedamaian. Jadi, buat apa kita mahu tukar. Kita kekalkan keamanan, keharmonian berbilang kaum,” katanya.

 


Pengarang :