Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ribuan penyokong pada program Ceramah Grand Finale Perpaduan #ArusMerahKuning di AU2 Keramat pada 10 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Calon wanita bakal tumbangkan pengkhianat di Hulu Kelang

OLEH SHAMZ JOHAN & SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 11 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin calon wanita yang dipertaruh di Hulu Kelang mampu menumpaskan lawan dari Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri esok.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keyakinan itu bersandarkan semangat dan sokongan jelas rakyat terutama anak muda supaya kerajaan perpaduan mentadbir Selangor.

“Kita hantar puteri muda Juwairiya Zulkifli untuk mengalahkan pengkhianat ‘si kitol’ dan tentunya panglima di Selangor yang menyantuni rakyat dan rajin bekerja Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Ketika orang lain tidur nyenyak, orang Selangor bangkit pertahan hak mereka dan luar biasa pada malam ini (malam tadi) ketimbang program lain, kehadiran begitu ramai anak muda Selangor.

“Kalau beginilah sikap anak muda, berani, ada idea, senang dengan kebebasan, hak dan ma’aruf, benci ketidakadilan, fitnah, amalan sakau dan rasuah, masa depan Selangor dan Malaysia Insya-Allah lebih cerah. Saya tabik anda semua,” katanya.

Bercakap dalam ceramah di AU2 malam tadi, perdana menteri turut mengingatkan seruan Pertubuhan Profesor G70 supaya pengundi menolak calon yang memainkan sentimen agama dan kaum.

Anwar juga menegaskan pentadbirannya selepas ini tidak akan bertoleransi dengan pihak yang sering mempermain hukum Allah dan mengkafirkan seseorang sewenang-wenangnya.

“Selepas ini, saya tidak akan bertolak ansur dengan perkara karut ini. Negara ini mesti selamat dan menyantuni semua rakyat. Islam agama persekutuan, kita tingkatkan kefahaman islam.

“Kita tingkat penguasaan dan martabat bahasa Melayu, jamin hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, pertahan kedaulatan Raja-Raja tetapi jangan hina mana-mana kaum,” katanya lagi.

Kerusi Hulu Kelang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Juwairiya dan mantan Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.


Pengarang :