Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ribuan penyokong pada program Ceramah Grand Finale Perpaduan #ArusMerahKuning di AU2 Keramat pada 10 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan perpaduan bela nasib nelayan, petani, mahu noktahkan kemiskinan

Oleh Shamz Johan dan Sheeda Fathil

GOMBAK, 11 OGOS: Perdana menteri mengulangi tekad kerajaan perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan tegar sebelum hujung tahun ini, selain membela nasib nelayan dan petani.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan usaha itu boleh dilaksana berikutan hasil mahsul negara bernilai tinggi dan Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar.

“Hasil mahsul negara seperti minyak, gas, kelapa sawit dan industri cukup tinggi. Kita mahu cipta rekod di Asia dan dunia sebelum Disember 2023 kita akan noktahkan kemiskinan tegar.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga ada rancangan begitu. Kita beritahu mereka sudah terlambat, anda tidak lagi relevan dan ditolak (it’s too late, you are irrelevant, you will be kicked out),” katanya.

Bercakap dalam ceramah di padang AU2 Keramat malam tadi, Anwar berkata kerajaan pimpinannya turut meluluskan dana tambahan RM200 juta untuk membaik pulih kuarters polis dan tentera.

Beliau kemudian mempersoal pelaksanaan dasar Perikatan Nasional (PN) ketika mentadbir negara untuk membaiki tandas rosak di sekolah dan menaikkan harga subsidi padi.

“Hampir semua sekolah tandasnya rosak, bagaimana boleh kita benarkan anak-anak ke sekolah dengan tandas begini rupa? Berapa lama mereka (PN) perintah? Ada dasar untuk baiki semua tandas?

“Bila kita naikkan harga padi (subsidi), kemudian dia (PN) kata itulah kita cadang dulu. Tiga tahun dalam kerajaan, apa kamu buat?” katanya yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).


Pengarang :