Calon Pakatan Harapan (HARAPN) yang juga penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet menunjukkan jarinya yang dicelup dakwat selepas mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Ampang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat pada 12 Ogos 2023. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Altimet hargai sokongan pengundi Lembah Jaya, ikrar beri khidmat terbaik

KLANG, 13 OGOS: Penyanyi rap terkenal Altimet menyanjung tinggi pengundi Lembah Jaya yang memberikannya mandat pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Pemilik nama lengkap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad juga menghargai kerja keras jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pengundi yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus berkhidmat dan berbangga menjadi sebahagian daripada Lembah Jaya.

“Saya berkeyakinan Kerajaan Perpaduan akan membalas jasa pengundi yang begitu besar jiwanya di Lembah Jaya ini,” katanya selepas pengumuman keputusan PRN HARAPAN-BN di Hotel Wyndham di sini malam tadi.

Beliau juga berjanji akan berkhidmat sebaik mungkin untuk semua penduduk Lembah Jaya tanpa mengira perbezaan parti.

“Saya akan segera memulakan tugas seawal pagi Subuh esok (hari ini) bersama jemaah di masjid,” katanya.

Altimet menjadi penyanyi rap arus perdana pertama di negara ini yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau menang dengan majoriti 6,707 dan memperoleh 26,116 undi, menewaskan pencabarnya Sharifah Haslizah Syed Ariffin daripada Perikatan Nasional (PN) yang meraih 19,409 undi.


Pengarang :