SHAH ALAM, 13 OGOS: Ahli dewan negeri berterima kasih kepada rakyat kerana memberikan mandat sekali lagi pada pilihan raya negeri semalam dan bertekad bekerja lebih kuat.
Wakil rakyat Pandan Indah Ir Izham Hashim berkata beliau bersyukur diberikan mandat sekali lagi oleh penduduk untuk terus membangunkan kawasan itu supaya lebih maju.
“Saya tidak ambil mudah saingan lawan dan hanya bersandarkan khidmat lima tahun sebelum ini. Alhamdulillah, masih kekal bersama Pandan Indan dengan strategi kempen yang baik dan sokongan perpaduan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/image_6483441-19-500x333.jpg.webp)
“Ini satu pencapaian besar dan terima kasih kepada pengundi. Saya tidak akan sia-siakan mandat diberikan dan akan laksana tugas dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya dihubungi SelangorKini.
Sementara itu, ADN Kinrara Ng Sze Han berkata beliau akan terus menjalankan kerja seperti biasa seperti sebelum ini dengan berkhidmat kepada penduduk tanpa berkecuali.
“Saya memperoleh majoriti yang sangat besar dan paling tinggi di Malaysia. Bagi saya, mendapat majoriti tinggi bermaksud tanggungjawabnya lebih berat dalam membela nasib rakyat.
“Namun, saya tetap memberi perkhidmatan terbaik dan akan teruskan usaha membangunkan DUN Kinrara. Kemenangan ini adalah hasil daripada perpaduan bersama sahabat baru kita, Umno dan Barisan Nasional,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/PSX_20230522_122944-500x333.jpg.webp)
Wakil rakyat Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail pula menyifatkan kemenangan yang diperoleh itu adalah bukan untuk dirinya, sebaliknya hadiah kepada rakyat di kawasan itu.
“Saya berazam untuk meningkatkan prestasi berbanding sebelum ini dengan memfokuskan pembangunan dan meningkatkan taraf ekonomi setempat.
“Jika sebelum ini berada di blok pembangkang, kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Sudah pasti kelebihan yang ada ini akan digunakan demi kebaikan rakyat,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/rizam-1-500x333.jpg.webp)
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan gabungan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional Selangor menang 34 daripada 56 kerusi sekali gus kembali membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.