AGENDANASIONAL

Status pemulihan bekalan air capai 96 peratus takat 9 pagi

SHAH ALAM, 14 OGOS: Status pemulihan air di enam kawasan terjejas mencapai 96.4 peratus bagi kumpulan satu manakala 52.2 peratus di kumpulan dua, setakat 9 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air kumpulan satu dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari ini, manakala kumpulan dua 12 tengah malam (15 Ogos).

“Setakat 7 pagi tadi, kawasan terjejas di kumpulan satu melibatkan wilayah Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Shah Alam pulih sepenuhnya manakala Klang 95.5 peratus sementara Kuala Lumpur 92.2 peratus.

“Kumpulan dua yang kebanyakan melibatkan kawasan di Klang dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah malam ini. Tempoh pemulihan setiap kawasan pengguna berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis.

“Tempoh masa pemulihan adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya di Facebook.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi https://hentitugas.airselangor.com/ selain aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi di talian 15300.

Kelmarin, operasi LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 terjejas berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi akibat aliran kepala air.

Susulan itu, pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air bersih.


Pengarang :