Mohd Hafiz M Razak atau Atan mentransformasikan ‘badan’ motosikal berkuasa tinggi jenis K1600B GA BMW kesayangannya menjadi Jalur Gemilang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Berhabis RM5,000 jelajah negara guna motosikal berhias Jalur Gemilang

KUANTAN, 14 OGOS: Tidak lokek mengeluarkan modal sebanyak RM5,000 asalkan semangat patriotik dapat dizahirkan secara simbolik dengan membawa Jalur Gemilang ketika menunggang motosikal menjelajah hampir ke seluruh pelosok negara.

Itu antara inisiatif yang dilakukan seorang kontraktor Mohd Hafiz M Razak, 41, yang tidak kisah berbelanja ribuan ringgit terutamanya melibatkan perhiasan Hari Kebangsaan memandangkan ia hanya disambut setahun sekali.

Bagi sambutan tahun ini, beliau yang lebih mesra disapa sebagai Atan mentransformasikan ‘badan’ motosikal berkuasa tinggi jenis K1600B GA BMW kesayangannya menjadi Jalur Gemilang menggunakan teknik balutan sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

Beliau berkata hiasan berkenaan mengambil masa seminggu untuk disiapkan kerana memerlukan teknik pembalutan yang teliti dan kemas bagi menampakkan corak bendera kebanggaan negara.

“Memang ambil masa untuk siapkan kerana tiga kali saya buat pembaikan sehingga betul-betul puas hati supaya warna dan jalur bendera adalah sama seperti Jalur Gemilang.

“Ini merupakan cara saya untuk zahirkan perasaan sayangkan negara dengan cara tersendiri dan saya bangga bila dapat melakukannya sempena Bulan Kebangsaan ini,” katanya kepada Bernama.

Selain mentransformasi motosikal, Atan yang berasal dari Jengka 14, Maran itu berkata beliau turut menghias keretanya dengan bendera malah kawasan rumahnya juga dipenuhi bendera dan pernah memenangi rumah keceriaan kemerdekaan.

Lebih membanggakan, beliau turut menyertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 yang bermula di Ipoh pada 16 Julai lepas.

Mula bergiat aktif dalam bidang motosikal berkuasa tinggi sejak lima tahun lepas, beliau berkata penyertaannya bersama Kelab Permotoran BMW K16 Malaysia dalam kembara berkenaan antara lain dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan yang dilihat semakin pudar terutama melibatkan generasi muda.

Bapa kepada tiga anak itu berkata keletihan menyertai konvoi itu terubat sebaik menerima respons daripada orang ramai sepanjang kembara berkenaan.

“Hilang penat bila konvoi bawa Jalur Gemilang orang lambai terhadap kami selain turut diraikan apabila tiba di hentian setiap negeri,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :