Penduduk mendapatkan bekalan air melalui lori tangki disediakan susulan penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Bekalan air lima kawasan pulih sepenuhnya, Klang lebih 54 peratus

SHAH ALAM, 14 OGOS: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai 100 peratus bagi kumpulan satu dan 54.4 peratus bagi kumpulan dua setakat jam 12 tengah hari.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Kami berharap agar pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” kata di Facebook.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/selain aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sabtu lalu, operasi LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 terjejas berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi akibat aliran kepala air.

Susulan itu, pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air bersih.


Pengarang :