Pengguna mengambil bekalan air pili awam yang disediakan Air Selangor (gambar hiasan). Foto Facebook Air Selangor.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air di enam kawasan dijangka pulih sepenuhnya 12 tengah malam ini

SHAH ALAM, 14 OGOS: Bekalan air di enam kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya 12 tengah malam ini, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Agensi itu turut memaklumkan tempoh pemulihan berbeza di setiap kawasan bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Jangan bimbang jika bekalan air yang anda mula terima adalah berwarna kerana situasi sebegini lazimnya berlaku semasa bekalan air terputus.

“Bekalan air yang disambung semula boleh menyebabkan pemendapan sedimen dalam paip utama yang telah kosong terampai semula dan mengakibatkan bekalan air berubah warna,” katanya di Facebook.

Pengguna yang mengalami bekalan air berwarna dinasihatkan supaya membiarkan paip air mengalir selama lima hingga 10 minit sehingga ia kembali jernih sebelum digunakan.

“Jika bekalan air masih berwarna sila hubungi Air Selangor di 15300 atau ‘Help Centre’ untuk pemeriksaan dan tindakan susulan kami dan Air Selangor sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pengguna,” katanya.

Sabtu lalu, operasi LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 terjejas berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi akibat aliran kepala air.

Susulan itu, pengguna di enam kawasan membabitkan Petaling, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air bersih.


Pengarang :