SHAH ALAM, 14 OGOS: Selangor FC menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Skuad The Red Giants yang mendominasi kedua-dua babak perlawanan menyumbat gol pertama menerusi sepakan padu Richmond Boakye dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol NSFC, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil pada minit ke-26.
Babak kedua dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buah Tan Cheng Hoe dan mencipta gol kedua pada minit ke-58 menerusi jaringan Ayron Del Valle, lapor BH Online.
Sementara gol ketiga dan empat masing-masing dijaringkan Orozco pada minit ke-74 dan Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-83.
Kemenangan itu membolehkan skuad The Red Giants memperkukuhkan lagi kedudukan mereka dalam carta liga di tempat kedua dengan mengumpul 49 mata.