Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membungkus ayam yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Dewan Chengal MBSA, Shah Alam pada 27 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gombak, Sepang, Hulu Langat antara lokasi jualan murah hari ini

SHAH ALAM, 15 OGOS: Program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah kembali menemui orang ramai di 11 lokasi hari ini.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi Facebook memaklumkan jualan diadakan di Dewan Palembang Rantau Panjang (Parlimen Kapar); Flat Permai dan Masjid Al Mardiyah, Jalan Taman Melawati (Parlimen Gombak); Dewan Cengal MBSA Seksyen 24 (Parlimen Shah Alam) dan Pangsapuri Amansiara (Parlimen Selayang).

Selain itu ia turut diadakan di Jalan Dato Abd Hamid 4 (hadapan Masjid Al Barakah) di Parlimen Kota Raja; Permai Court 2, Taman Dato Ahmad Razali (Parlimen Ampang); Pantai Sepang Putra (Parlimen Sepang); Gelanggang sukan Kampung Tengah (Parlimen Subang Jaya); Pangsapuri Sri Rinching Seksyen 5 (Parlimen Hulu Langat) dan Kampung Bukit Hijau (Parlimen Kuala Selangor).

Jualan murah yang dijenamakan semula daripada Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Barangan asas dijual termasuk ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan linktr.ee/myPKPS.

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.


Pengarang :