Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menyambut kepulangan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dari London pada 15 Ogos 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor kembali sihat, selesai jalani urusan perubatan di London

SHAH ALAM, 15 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kembali sihat selepas menjalani prosedur perubatan di luar negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang menyambut kepulangan Sultan Selangor bersyukur urusan perubatan Baginda baik dan lancar selain kelihatan ceria.

“Patik dan sekalian rakyat senantiasa mendoakan agar DYMM Tuanku berdua dilanjutkan usia dalam kesihatan yang baik, kesejahteraan dan keafiyatan.

“Semoga DYMM Tuanku kekal qarar (tenang) bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan juga,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Amirudin menyambut ketibaan Sultan Sharafuddin bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin ke tanah air.

Pada 28 Julai, Tuanku Sultan Selangor berangkat ke London untuk menjalani rawatan dan pembedahan penyakit berkaitan prostat (Holmium Laser Enucleation of the Prostate) yang dihadapi.

Baginda berharap dapat kembali sembuh seperti sediakala bagi menjalankan tugas sebagai raja pemerintah dan ketua agama Islam di Selangor.


Pengarang :