Pengunjung membeli barangan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang pada 15 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk teruja jualan murah kembali, barangan laris kurang dua jam dijual

KLANG, 15 OGOS: Lima barangan keperluan asas dalam program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Palembang, Rantau Panjang di sini laris tidak sampai dua jam dijual.

Jualan bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa itu membabitkan ayam, telur, ikan kembung, daging dan beras.

Pegawai Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Zarina Taslim berkata, 400 ekor ayam dibawa beserta telur manakala ikan kembung, daging dan minyak masak masing-masing 300 pek dan botol.

Pegawai Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Zarina Taslim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Telur habis dalam tempoh kurang dari satu jam diikuti ayam, beras, daging dan ikan. Sambutan amat menggalakkan dan penduduk beratur di luar dewan seawal 8 pagi,” katanya ditemui di lokasi jualan hari ini.

Sementara itu, pesara Mohd Rakim Salamon, 59, berkata, dia tiba jam 9.30 pagi dan ketika itu barisan sudah panjang dan masing-masing menunggu giliran untuk membeli keperluan harian.

“Inisiatif ini amat bagus kerana barangan dijual berpatutan dan meringankan beban rakyat terutama untuk warga emas dan kurang berkemampuan.

Pesara Mohd Rakim Salamon, 59. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Cuma saya harap selepas ini kuantiti setiap barangan ditambah sedikit mengikut lokasi jualan dan kepadatan penduduk,” katanya.

Suri rumah, Zainuri Othman, 56, berkata dia sudah lebih lima kali datang ke jualan murah itu untuk mendapatkan barangan dapur.

“Antara barang yang wajib beli ialah telur kerana sangat murah berbanding pasaran luar selain ayam dan beras. Barangan dijual bukan sahaja murah tetapi berkualiti.

Zainuri Othman, 56. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya sangat gembira apabila Kerajaan Negeri masih kekal ditadbir dan jualan ini diteruskan kembali  kerana ia membantu menjimatkan belanja dapur,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.

Petugas menyediakan barangan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang pada 15 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :