Tony Leong Tuck Chee dalam program walkabout di Kampung Raja Uda, Taman Gembira dan Taman Melawis, Klang pada 10 Ogos 2023 ketika kempen pilihan raya negeri. Foto Facebook YB Tuan Leong Tuck Chee
ADNSELANGOR

Tekad naik taraf pekan Pandamaran, Pelabuhan Klang jadi lokasi tumpuan

SHAH ALAM, 16 OGOS: Usaha menaik taraf pekan Pandamaran dan Pelabuhan Klang untuk dijadikan lokasi gerai makanan jalanan (hawker street) popular akan terus diperjuang Tony Leong Tuck Chee pada penggal ini.

Wakil rakyat Pandamaran itu pernah memperjuang perkara berkenaan sepanjang lima tahun lalu namun tidak dipersetujui pihak berkuasa tempatan (PBT) atas alasan jalan di kedua-dua pekan terbabit bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) persekutuan.

Beliau melihat keperluan memperindah pekan berkenaan yang berdepan masalah kebersihan sejak 15 tahun lalu supaya mampu menggamit kedatangan pelancong.

“Jadi dalam masa lima tahun ini, saya akan berusaha memastikan jalan di pekan tersebut dikembalikan kepada MPK (Majlis Perbandaran Klang) supaya kita boleh naik taraf pekan berkenaan.

“Sejak 70-an, jalan tersebut bawah JKR yang menghubungkan Banting dan Pelabuhan Klang, tetapi sekarang telah jadi Kampung Baru selain bukan laluan utama,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, beliau berhasrat memperkasa sektor pelancongan di Pandamaran melalui jalinan kerjasama dengan Majlis Pelancongan Malaysia (MITA).

Tony memaklumkan lokasi sekitar Pandamaran mempunyai banyak produk yang berpotensi diketengahkan terutama makanan laut, kuih-muih tradisional selain Little India Klang, pusat beli-belah GM Klang dan Pulau Ketam.

“Kita sedang berbincang dengan MITA untuk tarik pelancong asing dari Sepanyol, Norway dan Singapura yang masuk melalui Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang.

“Kita mahu pastikan pelancong singgah ke Pandaraman dan kawasan sekitar Klang tanpa perlu ke Kuala Lumpur untuk melancong. Sekurang-kurangnya mereka menginap semalaman di Klang,” katanya.

Pilihan raya negeri Sabtu lalu menyaksikan Tony kekal memenangi kerusi Pandamaran dengan memperoleh 46,999 undi menewaskan Gunalan Balakrishnan (Perikatan Nasional) dan Tan Kang Yap (Parti Rakyat Malaysia).


Pengarang :