Tangkap layar video menunjukkan wakil rakyat Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz meninjau keadaan sampah di Batu 18, Hulu Langat yang menyumbang kepada permasalahan bau pada 15 Ogos 2023. Foto Facebook Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz
ADNSELANGOR

Cadang tubuh pasukan khas selesai isu sampah haram di Dusun Tua

SHAH ALAM, 17 OGOS: Wakil rakyat Dusun Tua berhasrat menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengkaji masalah pembuangan sampah haram di kawasan itu terutama dalam kampung.

Menerusi video di Twitter, Datuk Johan Abd Aziz memandang serius perkara itu yang boleh mengundang isu pencemaran sungai dan bau serta alam sekitar jika tidak dikawal.

“Saya sudah bincang dengan yang dipertua (Majlis Perbandaran Kajang) dan Ahli Parlimen (Hulu Langat Mohd Sany Hamzan) untuk wujudkan pasukan petugas secepat mungkin.

“Sudah sampai masanya kena buat kajian mendalam serta (cari) penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah pembuangan sampah,” katanya.

Beliau turut meninjau timbunan sampah di Batu 18, Hulu Langat berhampiran jalan utama, yang dipercayai dilakukan orang awam, pengusaha restoran serta inap desa.

“Saya lihat ada kulit limau, durian dan nasi dalam kuantiti banyak. Itu bukan sampah dari rumah. Ini bermakna pengusaha restoran juga buang sampah. Kita akan kaji pengusaha terbabit,” tegasnya.

Sebelum ini, Johan memaklumkan penambahbaikan sistem pengurusan sampah di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan merupakan salah satu manifestonya dalam kempen pilihan raya negeri.

 

 


Pengarang :