PBTSELANGOR

Tanam pokok di kawasan awam hingga timbul kacau ganggu boleh didenda RM2,000

SHAH ALAM, 17 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melarang penduduk bercucuk tanam di padang permainan, perumahan, bahu jalan, kawasan lapang dan zon penampan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan tindakan berkenaan boleh menyebabkan kacau ganggu dan rasa kurang senang kepada penduduk setempat.

“Penduduk diingatkan untuk tidak menanam tanaman seperti pokok pisang, kelapa, mangga, ubi, serai, sayur-sayuran dan seumpamanya di kawasan lapang, rekreasi, padang, taman permainan, bahu jalan, lorong belakang kediaman dan zon penampan.

“Ini boleh menyebabkan kacau ganggu kepada kawasan kejiranan atau ketidakselesaan penduduk setempat,” menurut MPKL di Facebook.

Menurut MPKL, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan notis mengikut Seksyen 102 (d), Akta Kerajaan Tempatan 1976 Akta 171 iaitu kompaun atau denda sehingga RM2,000.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Landskap MPKL menerusi talian 03-3180 3135 atau WhatsApp 012-300 4276.


Pengarang :