Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) dan firma audit terkemuka, Deloitte Malaysia bertemu dan berhasrat menjalin kerjasama erat dalam pertemuan di ibu negara pada 11 Ogos 2023. Foto Twitter Invest Selangor
AGENSISELANGOR

Invest Selangor bertemu Deloitte, teroka peluang perniagaan baharu

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 17 OGOS: Anak syarikat Kerajaan Negeri, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berhasrat menjalin kerjasama dengan firma audit terkemuka, Deloitte Malaysia bagi memperkasa ekosistem perniagaan dalam dan luar negeri.

Invest Selangor melalui hantaran di Twitter baru-baru ini, berkata pertemuan itu diharap akan memperkukuhkan negeri ini sebagai destinasi pelaburan paling diingini oleh pelabur bernilai tinggi,.

“Kami sangat menghargai peluang ketika diberi khidmat pandangan mengenai lanskap perniagaan global daripada perspektif Deloitte, salah satu firma gergasi dunia perakaunan Big Four.

“Adalah penting bagi Invest Selangor untuk mempunyai input sedemikian bagi mengukuhkan cadangan tawaran nilai negeri dan membangunkan ekosistem perniagaan semasa.

“Kami berharap kerjasama ini akan menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan paling diingini oleh pelabur bernilai tinggi,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, EXCO Pelaburan berkata Selangor merekodkan RM60.1 bilion pelaburan membabitkan pelbagai sektor termasuk perkilangan dan perkhidmatan sepanjang tahun lalu, sekali gus berada di kedudukan kedua dalam keseluruhan (pelaburan) negeri di seluruh negara.

Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan, Invest Selangor selaku agensi galakan pelaburan sentiasa melaksanakan pelbagai program bagi memastikan negeri ini kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur antaranya menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).


Pengarang :