Sebuah pesawat ringan terhempas di jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Elmina Central Park Seksyen U16, Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Twitter Bernama
AGENDANASIONAL

Penduduk dengar letupan kuat, nampak pesawat, motor terbakar

SHAH ALAM, 17 OGOS: “Saya terdengar bunyi letupan sangat kuat dan sebaik tiba di lokasi, saya nampak seorang mangsa terbakar rentung dalam keadaan terbaring,” kata saksi insiden pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, di sini hari ini.

Menurut Nur Alia Nordin, 28, ketika kejadian dia berada dalam rumah di Kampung Kubu Gajah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat menyebabkannya segera berlari keluar rumah untuk melihat punca bunyi tersebut.

“Saya nampak asap hitam dari lokasi kejadian iaitu tiga kilometer dari rumah dan terus bergegas ke tempat kejadian yang hanya mengambil masa tiga minit.

Nur Alia Nordin, 28, saksi kejadian pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Bernama

“Sebaik tiba, saya nampak sebuah motosikal dan pesawat sedang terbakar,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Tinjauan sekitar 4.21 petang mendapati pasukan penyelamat serta pihak berkuasa berada di lokasi kejadian dan media tidak dibenarkan masuk.

Setakat ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 maut dalam insiden berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :