Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Laluan pesawat tersasar sedikit selepas dibenar mendarat sebelum terhempas

SHAH ALAM, 17 OGOS: Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan pesawat yang terhempas di Elmina petang tadi tersasar dari laluan asal.

Beliau berkata lencongan berlaku selepas tiga minit pesawat itu mendapat pelepasan menara kawalan trafik udara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) pada jam 2.48 petang.

“Menara (kawalan trafik udara) perasan pesawat itu terkeluar sedikit ke tepi laluan asal dan selepas memberi kebenaran mendarat, pengawal melihat asap dari menara, datang dari lokasi nahas,” katanya pada sidang media di LTSAAS petang tadi.

Anthony turut mengesahkan senarai lapan penumpang termasuk dua juruterbang pesawat berkenaan sementara identiti dua orang awam  akan disahkan melalui proses forensik yang akan diumumkan polis.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun berada dalam senarai penumpang selain dua juruterbang iaitu Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Lima penumpang lain ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Pesawat itu berlepas dari Langkawi, Kedah dan dijangka mendarat di LTSAAS jam 2.50 petang, namun terhempas selepas dibenar membuat pendaratan.


Pengarang :