BUDAYARENCANA

Musim panas di kota, tetapi gurun kedinginan

Manifesto telah dibentang
para pengundi bersidang di kedai kopi
keputusan sebulat suara

Kini kemenangan telah dijulang
tetapi piala telah diletak ke tepi
kecewa, dan muktamad

Musim panas sudah melanda di kota
sedangkan kita boleh berkawan
tetapi mengapa mahu menjadi musuh
perlahan-lahan kita boleh menyusun strategi

Tolong ingatkan gurun
dahulu pernah kita menabur benih awan
mengapa hujan tidak menjadi?

Usah menunggu hujan
Kerana mentari telah menjilat awan

Kota ini indah ketika aku budak hingusan
walaupun berbahang, masih lagi menjadi rebutan
ada kuasa tetapi sanggup berlapang dada

Kau rasa aman tika penghuni gurun kesejukan
berselimutlah, tidurlah dalam angan-angan
esok-esok rumahmu akan diceroboh orang

Nordin Hashim


Pengarang :