Pasukan MBSA FC meraikan kemenangan selepas bergelar juara Liga Super FAS 2023 menentang pasukan Boss FC di Stadium MBSJ pada 20 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

MBSA FC juara Liga Super FAS, Kelana United ungguli Liga Perdana FAS

Oleh Fitri Hazim Hazam

SUBANG JAYA, 21 OGOS: Pasukan bola sepak MBSA FC muncul juara Liga Super FAS 2023 selepas menewaskan Boss FC dalam aksi perlawanan akhir di Stadium Arena MBSJ di sini, malam tadi.

Jaringan tunggal penyerang Mahadi Asharif yang melakukan rembatan deras dalam kotak penalti pada minit ke-15 memastikan kejuaraan menjadi milik MBSA FC.

Liga Super FAS 2023 menyaksikan 18 pasukan berentap merebut gelaran juara.

Terbahagi kepada dua kumpulan, perlawanan peringkat berkumpulan bermula 13 Mei lalu hingga ke peringkat kalah mati merangkumi pusingan suku akhir serta separuh akhir di Radia Arena Bukit Jelutong.

Terdahulu, pada aksi akhir Liga Perdana FAS 2023, Kelana United dinobatkan juara selepas menundukkan Putra Perwira dengan jaringan 1-0 di venue sama.

Gol kemenangan Kelana United terhasil pada minit ke-67 selepas percubaan awal Azamuddin Akil yang berada di dalam kotak penalti terkena palang kemudian bola melantun sebelum disudahkan Ilya Fitri melalui tandukan ke gawang gol.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyaksikan kedua-dua perlawanan itu serta menyempurnakan majlis penyampaian trofi dan hadiah.

Selaku juara Liga Super FAS 2023, MBSA FC membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 beserta trofi manakala Naib Juara, Boss FC menerima wang tunai RM8,000 serta trofi.

Kelana United yang memenangi Liga Perdana FAS 2023 membawa pulang wang tunai RM8,000 dan naib juara dengan hadiah wang tunai RM4,000 serta trofi dimenangi Putra Perwira.

Berikut senarai pemenang Anugerah Liga Super FAS 2023 dan Liga Perdana 2023:

Liga Super:

Pemain Paling Bernilai (MVP) – Kalairasan A/L Murugan (MBSA)
Kasut Emas – Firdaus Musa (MPKj), Nur Rizzham Norman(Gombak), Terrence A/L Marieselvam (MPKj), Faiz Laidin (Sun Riders)
Golden Glove – Wan Ahmad Hababa (MBPJ), Fareez Safwan (MPKj)

Liga Perdana:

Pemain Paling Bernilai (MVP) – lylia Fitri (Kelana United)
Kasut Emas – Fakri Saarani (Kelana United), Radzi Pilus (Bukit Kapar)
Golden Glove – Khairil Ikhwan Azman (Putra Perwira)


Pengarang :