Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat pameran kemerdekaan Galeri Putra di Bangunan Canselori Putra UPM pada 20 Ogos 2023. Foto Bernama
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Galeri Putra UPM manfaat bahan kitar semula hasil pameran sejarah kemerdekaan

Oleh Amanina Mohamad Yusof

SERDANG, 21 OGOS: Galeri Putra di Universiti Putra Malaysia (UPM) memanfaatkan bahan kitar semula bagi menghasilkan pameran berkaitan sejarah kemerdekaan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Ketua Penolong Pendaftar Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, Rita Bajat berkata terdapat lapan kapsul serta tujuh sudut kemerdekaan dipamerkan di galeri berkenaan bagi pameran kemerdekaan yang diadakan selama sebulan bermula 16 Ogos lalu.

Beliau berkata setiap kapsul mempamerkan satu model dengan tema Lagu Negaraku, Jalur Gemilang, Tugu Negara, 31 Ogos, Rukun Negara, negeri di Malaysia, perdana menteri dan logo kemerdekaan.

Katanya tujuh sudut kemerdekaan pula merupakan ruang pameran dengan tema Jalur Gemilang, hasil kreatif, mewarna, kolam beras dan kayu mural, kronologi merdeka, fotografi, serta pengisytiharan kemerdekaan.

Ketua Penolong Pendaftar Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, Rita Bajat ketika ditemui di Galeri Putra, pada 20 Ogos 2023. Foto Bernama

“Pameran ini bukan sahaja membawa pengunjung menelusuri sejarah kemerdekaan negara menerusi grafik bermaklumat, tetapi juga mendidik masyarakat untuk sayangi bumi dengan memanfaatkan penggunaan bahan kitar semula,” katanya.

Menurut Rita contoh model yang menggunakan bahan kitar semula ialah sudut ‘pengisytiharan kemerdekaan’, dengan patung tersebut diperbuat daripada kulit telur, botol, pelitup muka dan surat khabar.

Kakitangan Unit Komunikasi Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) menyiapkan ‘Kola’ bercirikan kemerdekaan di Galeri Putra, Bangunan Canselori Putra UPM pada 20 Ogos 2023. Foto Bernama

Katanya begitu juga bendera Jalur Gemilang di satu daripada sudut pameran yang dihasilkan menggunakan reben terpakai, straw dan bekas telur.

Rita berkata semua model dan sudut pameran dalam galeri itu hasil usaha dan kreativiti 58 kakitangan PSPK yang berjaya menyiapkannya dalam tempoh enam hari sahaja.

“Penganjuran pameran ini tidak melibatkan sebarang kos kerana semua bahan pameran adalah sumbangan kakitangan kami yang mereka kumpul dan bawa dari rumah, ada juga barang digunakan semasa penganjuran sesuatu majlis di UPM dan di kitar semula untuk pameran ini,” katanya.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) tertarik dengan pameran kemerdekaan di Galeri Putra, Bangunan Canselori Putra UPM pada 20 Ogos 2023. Foto Bernama

Beliau berkata 3,000 orang disasar mengunjungi pameran di Galeri Putra itu yang terletak di Bangunan Canselori Putra dan dibuka Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya selain pameran tersebut, pelbagai aktiviti pengisian kemerdekaan turut dianjurkan antaranya penghayatan Rukun Negara, bual bicara bersama pensyarah berkenaan sejarah negara, dan sambutan ambang merdeka pada malam 30 Ogos.

-BERNAMA


Pengarang :