Mantan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail menyerahkan baucar RM100 kepada 106 penerima pada majlis penyerahan Baucar Halal Selangor pada 19 Ogos 2023. Foto Facebook Rodziah Ismail
ADNSELANGOR

106 penduduk B40 DUN Batu Tiga terima baucar halal RM100

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 21 OGOS: Seramai 106 penduduk berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima baucar halal RM100 untuk membeli barang keperluan di pasar raya terpilih.

Mantan wakil rakyat Rodziah Ismail berkata bantuan itu meringankan beban selain mendidik masyarakat menggunakan produk diiktiraf halal dan toyyiban.

“Keluarga kurang berkemampuan khususnya yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi pendapatan garis kemiskinan (PGK) purata miskin semasa atau PGK purata miskin per kapita semasa akan diberi Baucar Produk Halal untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di premis terlibat.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya di Facebook.

Pada 25 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2023 mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan baucar halal.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu merupakan usaha serampang tiga mata Kerajaan Negeri dalam agenda memperkasa industri halal untuk membantu 2,800 rakyat kurang berkemampuan berbelanja barangan asas.

Insentif yang dilancarkan pada 28 Julai tahun lalu turut membantu pemain industri menjual produk, meningkatkan pengeluaran dan menggalak mereka memohon sijil halal.

Pemberian baucar bernilai RM100 oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Industri Halal Negeri Selangor bersama rakan strategik Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah), Mydin, Azzainmart Peneraju Kedai Halal dan 99 Speed Mart dengan hanya satu transaksi dibenarkan.


Pengarang :