Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wayne Ong Chun Wei (tengah) ketika tinjauan ke kawasan air bertakung di Jalan Pekan Batu 11, Balakong pada 20 Ogos 2023. Foto FB Wayne Ong Chun Wei
ADNSELANGOR

ADN Balakong: Reka bentuk sistem parit Jalan Pekan Batu 11 dikaji semula, atasi isu air takung

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kajian semula reka bentuk sistem perparitan di Jalan Pekan Batu 11, Balakong akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah air bertakung di kawasan itu.

Wakil rakyat Balakong Wayne Ong Chun Wei berkata air bertakung biasanya berlaku apabila hujan lebat namun akan surut dalam masa singkat.

“Jalan ini merupakan antara jalan utama digunakan jadi kita mahu elak daripada berlakunya takungan air yang lebih teruk dan akhirnya menyebabkan banjir.

“Disebabkan itu saya ambil langkah awal, berjumpa dengan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), KDEB Waste Management (KDEBWM) dan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang berkaiatan isu ini.

“Jadi untuk jangka pendek kita bersihkan longkang bagi melancarkan saliran dan untuk jangka panjang kajian semula terhadap reka bentuk sistem perparitan dicadangkan,” katanya kepada Selangorkini.

Chun Wei berkata jalan raya itu yang berdekatan dengan kawasan komersial menyumbang kepada masalah longkang dan saliran tersumbat akibat sisa minyak dan makanan daripada kedai berhampiran.

“Jadi kita harap peniaga juga cakna mengenai hal ini dan memastikan perangkap sampah dan minyak dipasang di premis masing-masing.

“Kesedaran ini penting kerana jika pembersihan kerap dilakukan tetapi peniaga masih lagi membuang sisa makanan atau minyak ke longkang ia tetap akan menyebabkannya tersumbat,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wayne Ong Chun Wei ketika tinjauan ke kawasan air bertakung di Jalan Pekan Batu 11, Balakong pada 20 Ogos 2023. Foto FB Wayne Ong Chun Wei

Pengarang :