Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan kesal sikap biadab pemimpin politik terhadap institusi raja

KLANG, 21 OGOS: “Ingatlah jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke Selangor dengan melempar cacian melampaui batas.”

Demikian titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

Baginda merujuk insiden penggunaan kata-kata kesat dan biadab sebahagian kelompok masyarakat termasuk pemimpin parti politik yang mengheret institusi raja semasa dan menjelang kempen pilihan raya negeri (PRN).

“Sikap biadab mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara,” titah Baginda di Istana Alam Shah, Klang di sini.

Justeru, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak supaya memelihara adab dan susila orang Melayu ketika berkunjung ke negeri atau rumah orang lain.

“Ke mana hilang budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapapun khususnya di khalayak ramai,” titah Baginda lagi.

Sultan Selangor menyeru semua pihak menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan menumpukan usaha memaju kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.

Baginda juga mengajak golongan Melayu-Islam supaya mengelak persengketaan sesama sendiri yang membawa kepada perpecahan masyarakat dan memberi imej buruk kepada agama.

“Beta perhatikan politik telah banyak memecah belah perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit.

“Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” titah Baginda.


Pengarang :